Wong Yujing peroleh A+ bagi Tasawwur Islam

KUALA TERENGGANU 23 Mac - Minat untuk mendalami Islam sebagai agama rasmi negara mendorong kejayaan Wong Yujing mendapat A+ bagi subjek Tasawwur Islam sekali gus membantunya memperoleh 10A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman itu berkata, kejayaannya turut didorong sikapnya yang sentiasa berinteraksi dengan pelajar Islam ketika di dalam kelas sejak di tingkatan empat lagi.

Malah, kegigihannya belajar sendiri menerusi buku teks turut membantunya mencapai keputusan cemerlang itu.

"Kejayaan saya ini terutama dalam subjek Tasawwur Islam banyak dibantu oleh guru dan rakan sekelas," katanya ketika ditemui pada majlis Pengumuman Keputusan SPM 2010 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Jiring di sini hari ini.

Yujing, anak sulung kepada pasangan pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu merupakan antara 17 pelajar cemerlang SPM 2010 yang memperoleh A+ dalam semua subjek yang diambil.

Dia bercita-cita menjadi seorang ahli perniagaan dan bercadang melanjutkan pengajian ke United Kingdom dalam bidang kejuruteraan kimia.

sumber : Utusan Malaysia

0 comments:

Post a Comment

 
Powered By Blogger | Reka Cipta iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top