Pengurusan Kawalan Kelas semasa P&P

Saya seringkali lupa nama pelajar dan kekerapan tidak hadir memberi masalah yang besar kepada saya untuk mengingati pelajar dan latar belakangnya. saya baru mencuba dengan menggunakan kaedah saya sendiri iaitu menggunakan lembaran kawalan yang digunakan setiap kali masuk mengajar.

Hanya sekadar perkongsian untuk mengenalpasti tahap pelajar dan sedikit sebanyak mendapat maklumat daripada guru-guru yang mengajar subjek yang sama.

Saya mohon perkongsian ini dikomen untuk penambahbaikan kita bersama, apa lagi kepada saya yang sedang bertatih untuk mencari keseronokan dan kepuasan dalam berkerja.

Pengurusan kawalan kelas yang hendak dikongsi ialah dengan sentiasa mencatat dan mengemaskini maklumat-maklumat berikut:-

a. Untuk Pelajar

i. Senarai Kehadiran Kelas pendidikan Islam

i.i hanya murid yang ada di dalam kelas sahaja dikira hadir untuk kelas pendidikan Islam sekalipun mereka hadir tetapi terlibat dengan kokurikulum dan sebagainya. Tujuan untuk melihat jumlah sebenar pelajar berada di dalam kelas dan kesungguhan mereka mengulangkaji pelajaran jika sekiranya tidak berada di dalam kelas

i.ii Tarikh kelas berlangsung dicatat. Sebaiknya kertas kehadiran itu dibuat 4 bulan untuk setiap helaian kertas

i.iii. Sentiasa dibawa ke dalam kelas dan diambil sebelum P &P berjalan

i.iv Maklumat tersebut perlu dibawa berbincang dengan pihak terbabit sekiranya perlu kepada penambahbaikan

iv. Maklumat ini boleh digunakan sebagai salah satu bukti sekiranya berlaku penurunan % kelulusan atau sebarang masalah yang berkaitan pelajar.


ii. Rekod Penghantar Hasil Kerja/ Nota Pelajar

ii.i Mengenalpasti kekerapan pelajar yang menghantar hasil kerja/ nota/ latihan kepada guru untuk diteliti.

ii.ii Sila catatkan nama pelajar, tarikh hantar, jenis hasil kerja dan juga komen

iii. Maklumat Pelajar

Guru sering tersasar dalam bertindak lantaran tidak mengenal betul latarbelakang dan bebanan yang pelajar pikul. Justeru itu, kita cuba buat begini..

iii.i Catatkan kegiatan kokurikulum mereka seperti pasukan Beruniform, Persatuan/kelab dan sukan permainan yang mereka sertai. - Tujuan- mengetahui tahap kesibukan pelajar dan komitmen mereka kepada sekolah.

iii. ii Latar belakang keluarga pelajar seperti pekerjaan ibubapa, pendapatan, alamat dan bilangan adik beradik - Tujuan untuk mengenalpasti tahap sosioekonomi dan latar belakang pelajar terutama bagi kami sekolah pendalaman yang faktor kepayahan hidup banyak menjejaskan kualiti pembelajaran.

kita sambung kemudian... belum habis lagi. kena ke kelas ...

Seminar 1 Ummah

Kertas Kerja Seminar

Kakitangan Hospital Zon Timur

(Sandakan, Beluran, Kinabatangan,Telupid, Lahad Datu,Kunak, Semporna)

Tajuk : I Malaysia 1 Ummah

Muqadimmah

Perpaduan dilihat sebagai satu elemen yang paling penting dalam mengekalkan kestabilan dan keharmonian Negara yang sedia ada. Lantaran itu konsep satu perlu dihayati oleh semua pihak dengan mengenepi anasir-anasir yang boleh memecahbelah masyarakat dan bersama-sama mendokong nilai-nilai sejagat.

1 Malaysia 1 ummah menjadi tema Mauliddur Rasul pada tahun ini , dengan harapan memperkukuhkan perpaduan kaum, agama dan apa jua perbezaan. Persoalan Ummah pula dipertegaskan oleh Doktor Abdur Raziq As-Sanhuri bahawa kalimah ummah atau jamaah yang perlu difahami bukan sahaja merangkumi muslimin sahaja, tetapi juga merangkumi semua kaum, agama dan puak yang boleh hidup aman di bawah panji Islam.

Seorang ahli sains social Perancis yang mengatakan maksud ummah perlu merujuk kepada ummah yang diciptakan oleh baginda SAW iaitu muslimin dan kuffar zimmi yang boleh hidup berkerjasama di bawah satu lembayung kepimpinan Rasulullah.

Konsep Perpaduan Dalam Islam

Surah Aali Imran:103. Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, Maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu Karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu Telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.

Perpaduan hendaklah diasaskan kepada beberapa perkara berdasarkan ayat di atas

i. Perpaduan itu mesti berteraskan Al-Quran dan hadis dengan meletakkan hokum dan syariat Allah dihadapan dalam membentukrupa perpaduan yang sebenar. Haram hukumnya bersatu dalam dosa dan permusuhan.

ii. Syariat Islam yang lengkap mesti digunapakai secara keseluruhan dengan menjadikan Islam sebagai satu cara hidup.

iii. Mufaraqah daripada kerangka atau lilitan syariat Islam adalah dilarang oleh Allah kerana manusia diikat dengan dosa dan pahala

iv. Perpaduan akan lebih lunak bilamana kita mengenepikan dendam dan permusuhan silam.

v. Manusia itu saling bertanggungjawab di antara mereka

vi. Persaudaraan menyelamatkan manusia daripada jurang api neraka. Sikap tegur menegur adalah asas kepada terdirinya agama dalam kehidupan bermasyarakat

Perpaduan juga dapat dilihat daripada dua jurusan atau dimensi iaitu:

Pertama: Perpaduan luaran yang terjelas sebagai kerukunan muafakat bergotong-royong, memperteguh suasana sosio-politik negara demi kepentingan bersama.

Kedua: Perpaduan yang jauh lebih asasi iaitu kesatuan dalaman yang terzahir sebagai pautan kejiwaan dan kerohanian.

Manusia Yang Terbaik

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kalian dan seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kalian saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kalian di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kalian. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”(QS Al Hujuraat (49): 13

Manusia yang terbaik ialah mereka yang bertaqwa kepada Allah. Apa itu Taqwa?

Kata taqwa mengandungi makna menolak sesuatu dari sesuatu dengan selainnya sedangkan kata (اَلْوِقَايَةُ) mengandung makna menjaga sesuatu. (اِتَّقِِ اللَّه) maknanya jadikanlah antara kamu dengan-Nya sesuatu bagaikan penjaga. (Maqayiisil Lughah [6/131])

Taqwa juga ditakrif sebagai rasa takut kepada Allah secara terus-menerus dan kehati-hatian agar tidak melanggar aturan-Nya secara terus-menerus..

‘Umar bertanya kepada Ubay bin Ka’ab tentang taqwa, lalu Ubay berkata

“Bukankah engkau pernah melintasi jalan yang berduri?”, “Betul” kata Umar. Ubay bertanya bertanya kembali, “Apa yang engkau lakukan ketika melintasinya?” Umar menjawab, “Berhati-hati.” “Itulah taqwa,” jawab Ubay.

Ibnul Mu’taz mengambil makna tersebut seraya berkata,

خلِّ الذُّنوبَ صَغِيرَها…. وكَبِيرَها فَهْوَ التُّقَى

واصْنَعْ كماشٍ فَوْقَ أَرْضِالشَّوْكِ يَحْذَرُ ما يَرَى

لا تَحْقِرَنَّ صغيرةً….إنَّ الجِبَالَ مِنَ الحَصَى

“Tinggalkanlah dosa-dosa, kecil maupun besar, itulah makna sebuah ketaqwaan. Melangkahlah dengan berhati-hati bagaikan orang yang berjalan di atas tanah yang berduri. Janganlah kamu meremehkan dosa-dosa kecil, kerana gunung pula terbentuk dari gumpalan batu kerikil.” (Lihat Jami’ul ‘Ulum wal Hikam)

Keluarga Tapak Bina 1 Ummah

Pembinaan ummah bermula daripada individu, membesar apabila terbentuk keluarga yang menjadi anggota masyarakat sesebuah Negara. Tapak asas 1 ummah boleh diperkasakan sekiranya keluarga dapat menghasilkan individu yang berkualiti (Quratul akyunn).

Islam telah menyusun satu system kekeluargaan yang komprehensif bagi memastikan hambanya merasai kenikmatan hidup. Ianya akan dapat dilaksanakan melalui beberapa hubungan :-

a. Hubungan Suami Isteri

i. Menyelesaikan isu-isu hubungan di awal perkahwinan

ii. Mengenali keluarga pasangan

iii. Batas-batas pergaulan dalam keluarga

iv. Kelahiran anak

v. Hubungan kelamin suami isteri dan adabnya

b. Hubungan dengan ibubapa

i. Tanggungjawab anak terhadap ibubapa

ii. Bakti anak kepada ibubapa semasa hidup dan

iii. Bakti anak kepada ibubapa selepas mati

c. Hubungan dengan mertua

i. Hubungan ini penting bagi mendapat bimbingan, sokongan, mengeratkan saliturrahim dan menghargai pengorbanan mereka

ii. Menerima, melayani mertua sebagai ibubapa

iii. Selalu berbaik sangka dengan mertua dan menerima sebarang kekurangan

iv. Selalu menziarahi mereka dan memberikan kasih saying

v. Menggunakan komunikasi yang berkesan

d. Hubungan dengan jiran

i. Jiran sebagai pengganti saudara mara

ii. Tempat untuk mendapat sebarang bantuan terutama diwaktu kecemasan

iii. Sumber untuk mendapat bimbingan dan nasihat

iv. Hubungan baik ini boleh diwujudkan dengan menghormati, berbaik sangka dan sikap tolong menolong

v. Menunaikan hak kepada jiran dengan menziarahi, memenuhi jemputan mereka serta mengiringi jenazah sekiranya berlaku kematian.

Kaedah membentuk Khairun Ummah Dalam Konteks Kakitangan Perubatan

a. Menghargai Perubatan Pekerjaan Mulia

Kepercayaan yang diberikan masyarakat kepada profesion perubatan harus dimanfaatkan sebaik cara agar dakwah Islam dapat disampaikan kepada pesakit, walaupun kepada golongan bukan Islam.

Para doktor dan paramedik adalah barisan hadapan profesion perubatan yang berusaha meringankan kerusingan dan kesakitan pesakit dan sudah tentu kerja yang mulia ini mendapat perhatian, kepercayaan dan penghormatan oleh masyarakat. Adalah menjadi sesuatu yang merugikan jika seorang perawat Islam itu menghabiskan berjam-jam berkerja di hospital tetapi hanya sekadar merawat keadaan fizikal pesakit tanpa merawat jiwa-jiwa mereka yang mungkin terpinggir daripada ajaran Islam mahupun mereka yang tidak pernah mendengar mengenai Islam sebagai ad-deen.

b. Melayan Pesakit dengan Ikhlas dan penuh sabar

Pesakit yang datang mendapat rawatan dengan pelbagai ragam pastinya menguji kesabaran perawat. Kesabaran dan keikhlasan perawat menjadi ubat yang paling mujarab bagi pesakit, sekalipun dengan sebuah senyuman ikhlas.

c. Menjaga aurat dan maruah pesakit

Maruah termasuk dalam salah satu dhururah khamsah (5 perkara yang wajib dipertahankan) patut diberi perhatian oleh para perawat sekalipun di situ ada rukhsah. Rukhsah tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya.

Pesakit perlu diterangkan dan diingatkan tentang batas-batas aurat, maruah pesakit lain dan tidak menceritakan keaiban pesakit lain semasa mereka sama-sama dirawat.

d. Banyak berdoa dan bertawakal kepada Allah setelah berusaha

Kita hanya sebagai hamba yang bertugas mengurus kesihatan manusia. Allahlah yang menyembuh segala penyakit yang dideritai oleh hambanya. Perawat dan pesakit mestilah sama-sama berdoa dan bertawakal kepada Allah melalui usaha yang bersungguh-sungguh.

Penutup

Konsep 1 ummah hanya akan terlaksana sekiranya semua pihak menjalankan amanah dengan telus, dedikasi,berlapang dada, menghapuskan prejudis dan segala anasir rakus yang membentengi konsep 1 ummah untuk menyerap dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Iman dan taqwa mestilah dicernakan dalam kehidupan manusia disemua peringkat, dengan mencontohi fatonah Rasulullah SAW membina masyarakat Madinah sehingga ummah di zamannya berjaya menggegar dunia.

Oleh : Ust Mohd Zaidi Mustafa

SMK Bukit Garam, Kinabatangan

Wong Yujing peroleh A+ bagi Tasawwur Islam

KUALA TERENGGANU 23 Mac - Minat untuk mendalami Islam sebagai agama rasmi negara mendorong kejayaan Wong Yujing mendapat A+ bagi subjek Tasawwur Islam sekali gus membantunya memperoleh 10A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman itu berkata, kejayaannya turut didorong sikapnya yang sentiasa berinteraksi dengan pelajar Islam ketika di dalam kelas sejak di tingkatan empat lagi.

Malah, kegigihannya belajar sendiri menerusi buku teks turut membantunya mencapai keputusan cemerlang itu.

"Kejayaan saya ini terutama dalam subjek Tasawwur Islam banyak dibantu oleh guru dan rakan sekelas," katanya ketika ditemui pada majlis Pengumuman Keputusan SPM 2010 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Jiring di sini hari ini.

Yujing, anak sulung kepada pasangan pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu merupakan antara 17 pelajar cemerlang SPM 2010 yang memperoleh A+ dalam semua subjek yang diambil.

Dia bercita-cita menjadi seorang ahli perniagaan dan bercadang melanjutkan pengajian ke United Kingdom dalam bidang kejuruteraan kimia.

sumber : Utusan Malaysia

Persediaan Bina Blog

persiapan awal penting dalam membina blog supaya masa tidak dihabiskan begitu sahaja. Dalam persediaan membina blog bagi kursus dalaman guru-guru SMK Bukit Garam, persiapan berikut perlu dilakukan .

1. Sediakan email sebaiknya @gmail.com

2. Sedia password baru untuk blog

3. Bawa bersama gambar-gambar yang hendak dimasukkan dalam bentuk softcopy

4. Cadangkan nama blog anda

5. Cadangkan tema blog anda untuk diletak di head blog anda. Sebaiknya akan memudahkan pencarian

6. Senaraikan

- nama-nama blog yang hendak di link nanti

- kategori yang hendak diwujudkan dalam blog nanti

7. Sediakan kata-kata tentang blog anda

8. Install perisian ADC untuk memudahkan mengedit gambar khususnya untuk mengecilkan saiz gambar

Kalungan Tahniah dan Terima Kasih Kepada Semua Tenaga MTQ 2011

Kalungan terima kasih dan tahniah kepada semua warga Zon Bukit Garam yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan Majlis Tadarus Al-Quran (MTQ) pada kali ini.

Tugasan Setiausaha dan mandat yang telah diamanahkan oleh warga pendidik untuk menyempurnakan MTQ pada kali ini telah dipergunakan untuk membuat beberapa pembaharuan bagi memeriahkan MTQ yang menjadi trade mark kepada usaha guru agama seluruh Malaysia.

Antara beberapa perubahan yang telah dilakukan ialah :-

1. Mewujudkan kategori Pendalaman bagi Sekolah Rendah bagi memotivasi sekolah rendah pendalaman dan Sekolah Kurang Murid untuk turut sama diiktiraf dan dikira sebagai persaingan yang adil.

2. Anugerah Tokoh Majlis Tadarus Al-Quran (MTQ) bagi mengiktiraf sumbangan dan pengorbanan mereka yang terlibat dalam menjayakan aktiviti keagamaan. Pada kali ini Persatuan Guru Pendidikan n Islam (PGPIK) memutuskan Allahyarham Tuan Hj Darul Kamit yang telah meninggal dunia pada November tahun lalu.

3. Menggunakan khidmat bentara yang dilantik dari kalangan pelajar untuk membantu tugas-tugas jawatankuasa dan hakim semasa program berjalan. Ia bertujuan mendedahkan pelajar tentang pengurusan MTQ. Seramai 33 orang bentara dari SMK Bukit Garam telah bertugas dengan jayanya.

4. Menggunakan Multi Media dan montaj sebagai persemabahan bagi memeriahkan MTQ

Alhamdulillah, kita berpuashati dengan khidmat yang diberikan oleh semua pihak. Sekalipun masih terdapat beberapa kekurangan yang perlu diperbaiki akan sama-sama kita bermuhasabah dalam majlis post mortem nanti.

Apa pun pada tahun ini, kita telah menggunakan sepenuhnya tenaga kerja dalam zon Bukit Garam.

Gambar-gambar pelaksanaan

1. Sebelum Acara bermula ( Malam sebelum program)
Kejelasan Objektif program cukup penting

Bentara turut membantu Jawatankuasa
Cik Jah memimpin penyediaan Multimedia
Rombongan SK Bukit Garam berjaya menyiapkan astaka

2. Hari Acara berlangsungPara peserta Tilawah menunggu giliran
Hakim Hafazan yang berselindung
antara peserta hafazan
Hakim syarahan yang bijaksana
acara bercerita yang paling popular
Antara bentara yang senyum kepenatan

SMK Bukit Garam Bolot Semua Johan Acara

SMK Bukit Garam sekali lagi mengekalkan kejuaraan acara Majlis Tadarus Al-Quran buat kali ketiga berturut-turut.

Lebih manisnya pada tahun ini, selain menjadi tuan rumah kepada MTQ, Pasukan SMK Bukit Garam memenagi semua acara Tilawah, Hafazan, syarahan Lelaki dan perempuan. Acara nasyid yang sentiasa bersaing dengan SMK Bukit Garam II juga dapat dimenangi.

SMK Bukit Garam mendapat tujuh emas dan diekori oleh SMK Sukau yang mendapat dua Perak dan satu gangsa.

Ust Mohd Termezi selaku pengurus pasukan Nasyid Al-Munawwaroh terus berpuas hati dengan persembahan pasukannya sekalipun kekurangan dari segi pakaian ahli nasyid.

Kesungguhan yang ditunjukkan oleh jurulatih yang terdiri daripada guru agama dan guru akademik telah menghasilkan keputusan yang terbaik.

Pengetua SMK Bukit Garam, En Tan Ping Seng ternyata berpuas hati dengan keputusan tersebut telah berucap dalam bahasa Arab dalam majlis perasmian tersebut.

Piala pusingan johan keseluruhan disampaikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah, En Jefri Abdul Hamid.

Sementara itu SK Bukit Garam II muncul sebagai sekolah terbaik peringkat sekolah rendah setelah mendapat satu emas dan empat perak.

Bagi kategori pendalaman pulak, SK Balat telah menunjukkan kebangkitan dengan memenangi semua acara yang disertainya.

Tahniah kepada pasukan yang bertanding. Terima kasih kepada para jurulatih. Semoga kita sama-sama dapat mempertingkatkan mutu Majlis Tadarus Al-Quran Kita

Antara tetamu yang hadir
Sdr Asraf Norli, johan syarahan Agama

PK 1,Pn Sutina tenaga penting dalam merencanakan kejayaan SMK Bukit Garam kelihatan menahan keletihan
Pk Ko-kum, Aniwandy Muhammad menerima Piala juara keseluruhan

Ust Hafizul mewakili Tuan Hj Ramli Gantari menerima Piala Pusingan yang telah dimenanginya tahun lalu.

Teks dan teknik Syarahan Agama Majlis Tadarus Al-Quran [MTQ

Saya bercadang mahu berkongsi dengan jurulatih-jurulatih syarahan agama MTQ tentang kaedah menyediakan teks syarahan. Kekadang rasa tidak adil pertandingan berlaku antara wakil sekolah yang terdedah dengan kaedah yang tepat, manakala ada wakil-wakil sekolah yang tidak menepati kehendak sebenar kaedah syarahan agama.

1. Pengenalan dan pembukaan

- tidak perlu panjang dan berbunga-bunga
- tidak dimulakan dengan pantun atau sajak
-menjelaskan maksud tajuk syarahan dengan jelas

2. isi

2.1 5 hingga 8 isi
2.2 setiap isi mengandungi fakta + keterangan fakta+contoh semasa + Dalil + sumber dalil
2.3 dalil hendaklah berserta dengan matan. maksud ayat atau hadis - tiada markah
2.4 tidak boleh menghina atau berunsur bias
2.4 Contoh sebaiknya berkait dengan semasa

3. penutup
3.1 kesimpulan tajuk mesti dibuat
3.2 ringkas, padat dan tepat


4. lain-lain
4.1 tidak gaya bahas, debat, bersajak, bersyair, pantun dan sebagainya
4.2 berpakaian seperti pendakwah- buruk sangat seorang bersyarah agama tetapi dalam keadaan aurat terdedah
4.3 Ucapan biarlah menyentuh hati, bukan merangsang semangat atau pensyarah lebih bersemangat

Ini hanyalah lakaran kasar untuk membantu jurulatih-jurulatih membantu para peserta syarahan. Kreativiti guru-guru hendaklah dimunafaatkan untuk membantu pelajar. Semoga dengan bimbingan kita akan melahirkan pendakwah-pendakwah yang hebat seketika nanti.

Dairi Maulud Di Paitan

Buat julung kalinya, penulis berpeluang berkunjung ke daerah Kecil Paitan yang terletak dalam daerah Beluran. Perjalanan ke sana agak jauh dengan tempat penulis tinggal, jauh juga dengan Beluran. Kami terpaksa melalui jalan Sapi-Nangoh, jalan yang agak sunyi daripada kenderaan.

Penulis dibawa oleh Guru besar SK Kabuluh, Cikgu Zaini dan bermalam di rumah Guru SK Kabuloh. Setiba kami di sana, waktu maghrib telah tiba. Penulis dan Cikgu Zaini bergegas ke masjid berdekatan selepas membersihkan diri. Jadual kuliah maghrib untuk penulis telah diatur bersama guru-Guru SK kabuluh dan masyarakat kampung tersebut. Agak ramai juga. Kami dihidangkan dengan jamuan nasi selepas ceramah tersebut. Sempatlah berkenalan dengan guru-guru dan penduduk kampung Kabuluh yang rata-rata berbangsa Sungai.
disimpang Paitan; bersiap untuk berarak

Esoknya, dalam jam 7.00 pagi, penulis dibawa oleh Ust Mazla ke tempat sambutan maulud. Sudah siap disana Pegawai daerah Paitan dan para pembesar menunggu ketibaan ADUN Sugut, YB Suriady Kayong. Penulis diperkenalkan kepada DO, Ketua Anak negeri dan JKK Paitan.

YB tiba bersama datinnya, kami berarak sejauh lebih kurang 1.5 kilometer daripada simpang Paitan ke Dewan Banbangan. Pasukan Salawat dipimpin oleh Ust Fakruhisyam dari SK Kabuloh dengan menggunakan kereta Jabatan Penerangan. Kanak-kanak dilihat lebih seronok apabila berlari untuk sampai lebih awal. Rombongan Yb pun dipintas mereka. Dari kejauhan kumelihat, keringat Yb dan Do juga membasah baju mereka....hehe.. ok juga penduduk Paitan ini menguji ketahanan YB mereka.

kami tiba di dewan baru kg Bambangan. Pengisian maulud turut diselitkan dengan bacaan Al-Quran, nasyid dan ucapan-ucapan termasuk ucapan perasmian oleh Yb Suriady Kayong. Agak panjang ucapan Yb Suriady yang menyentuh tentang maulidur Rasul dan konsep 1 Malaysia.

Ceramah maulid penulis berlangsung lebih kurang sejam lebih. Ceramah berkitar tentang personaliti Rasulullah dan kasih sayang baginda kepada ummahnya. Penulis turut mengait personaliti Rasulullah dengan masyarakat setempat. Pujian harus diberikan kepada penduduk paitan sekalipun hujan lebat yang sedikit menganggu bunyi ceramah, mereka tetap menunjuk minat kepada isi ceramah.

Penyampian hadiah kepada pertandingan sepanduk tercantik, kontigen teramai, tokoh maulidur rasul dan sebagainya turut memikat penonton.

Seusai program, kami dibawa ke Pejabat Urusetia daerah Paitan untuk jamuan. Di sana penulis sempat berkenalan dengan kakitangan Pejabat urusetia yang berasal dari Kinabatangan dan Polis (SB) berasal dari Kelantan yang telah berkhidmat 25 tahun di daerah Beluran.
Kebetulan baju berwarna sama dengan Yb Suriady Kayong

Alhamdulillah, selamat tiba dekat maghrib dirumah. juga dihantar oleh Guru besar SK kabuluh, Cikgu Zaini yang dikenali dengan Ustza Zaini kerana kewarakan beliau. Terima kasih kepada semua diatas perkenalan yang singkat tetapi cukup bermakna untuk diri penulis dan kerja dakwah.

Quranic Group

Buku siri memahami asas-asas Islam ini telah ditulis oleh sahabat saya, saudara Rafie Yusof dan Sdr Mohd Norhusairi Mat Hussin.

Saya cukup mengenali Ust Rafie Yusof sejak di kampus lagi. Beliau menjadi mentor saya dalam banyak sudut terutama aspek pengurusan persatuan dan tarbiyyah. Ust Mohd Rafie begitu lama terlibat dalam membimbing sahsiah pelajar baik melalui kem, tamrin dan sebagainya.

Selain itu, beliau cukup aktiviti dalam menggerakkkan ativiti untuk anak-anak muda dan sering menyampaikan ceramah motivasinya.

Buku " Quranic Group" sebanyak enam siri mengcakupi bab aqidah, ibadah, sirah, Al-Quran, hadis, fikrah dan Fardu Ain. Ianya membantu pembaca memahami Islam secara syumul.

Saya telah mempraktikkan buku ini kepada pelajar-pelajar saya dan ternyata ianya mampu menarik dan mengikat pelajar saya untuk mendalam ilmu-ilmu Islam.

Lagipun buku ini simple, murah dan menarik untuk dimiliki oleh pelajar dan bahan bantu kepada guru dalam mencapai kecapaian dalam P&P.

Buku ini juga boleh didapati secara online atau berhubung terus dengan penulisnya. Minta maaf saya tegaskan. Saya promosi buku ini kerana kebaikan dan keupayaannya membantu kita dalam membina sahsiah pelajar tanpa mencari sebarang imbalan daripada penulis ataupun sesiapa yang berkenaan. Cuba dulu baru tau...

Tips Bakal Pemohon Guru Cemerlang (GC) Cikgu Sani

Beberapa catatan dan dapatan penulis terhadap apa yang diterangkan oleh Pengetua Cemerlang DG54 En Sani Sahwi. Perkara ini perlu dilakukan oleh bakal dan yang sudah bergelar Guru Cemerlang.

Pada diri guru

1. Dokumentasikan setaip gerak kerja cemerlang anda dan disimpan secara terurus dan teratur.

2. Budayakan JPU dalam menyediakan ujian atau peperiksaan.

3. Kerap mencabar minda pelajar dalam P&P

4. Wujudkan dan munafatkan ruang sudut mata pelajaran dalam kelas untuk subjek kita

5. Dapatkan sijil sebagai bukti bila terlibat dalam aktiviti rasmi

6. Susun sijil penghargaan mengikut tahun bertugas

7. Hasilkan bahan ilmiah untuk dikongsi bersama

8. Menyediakan kolaborasi pembacaan buku

9. Elak bercakap dan membincang perkara peribadi semasa bertugas. Utamakan tentang pelajar dan tugas.

10. Mengajar dengan membudayakan P &P dalam 3 aras


Kepada pelajar

1. Bukukan jawapan terbaik pelajar setiap tahun untuk dikongsi dengan pelajar lain juga sebagai penghargaan kepada pelajar cemerlang.

2. Catat prestasi pelajar dan memberi cadangan kepada penambahbaikan prestasi pelajar

3. Sediakan surat maklumat kepada ibubapa tentang prestasi pelajar kepada ibubapa

Kepada Cikgu Sani
Terima kasih banyak atas tunjuk ajar. Sekiranya sampai ke blog ini, mohon betulkan jika ada silap faham penulis tentang tips ini
 
Powered By Blogger | Reka Cipta iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top