Selamat Kembali Ke Sekolah

Cukuplah berhari Raya. Ayuh kita kembali ke sekolah. Sudah hampir 2 minggu kita meninggalkan bangku sekolah. Suatu masa yang cukup lama bagi seorang pencinta ilmu pengetahuan dan bagi mereka yang mengejar cita-cita yang menggunung tinggi.

Hidup sebagai seorang pelajar dan pengajar sememangnya tidak boleh lekang dengan medan ilmu , dimana sekalipun berada.Suasana Hari Raya tidak semestinya kita meninggalkan buku-buku pelajaran dan tugasan akedemik yang belum disiapkan. Apatah lagi kita masih dalam edah peperiksaan percubaan. Teruskan usaha. Jangan mudah jemu. Ubat yang pahit biasanya lebih mujarab daripada ubat yang manis.

Selamat Mengulangkaji dan selamat maju jaya

Cakna Guru

saya ada terbaca email dari seorang guru. Saya kira kisah ini bagus dikongsi bersama sebagai peringatan untuk para guru supaya mendekati pelajar dan tidak tersilap melakukan hukuman kepada pelajar. Apa lagi kebajikan pelajar patut guru utamakan

Ceritanya:
Saya mengajar di sekolah rendah di tengah2 bandaraya Kuala Lumpur. Saya
mengajar sesi petang. Salah seorang murid saya setiap hari datang lambat ke
sekolah. Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya bertanya tentang
baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri.

Saya masih bersabar dengan keadaan pakainnya, tetapi kesabaran saya tercabar
dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat. Pada mulanya saya hanya
memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata2 kecuali
anggukkan yang seolah2 dipaksa. Kali kedua saya memberi amaran, dia masih
juga mengangguk tetapi masih juga datang lambat keesokannya. Kali ketiga
saya terpaksa menjalankan janji saya untuk memukulnya kalau masih lambat.
Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untukdirotan . Airmata saja yang
jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya.

Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya memukulnya lagi. Namun ia
masih tetap datang kesekolah dan masih tetap lambat.

Suatu hari saya bercadang untuk mengintipnya ke rumahnya. Setelah
mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya.. Dia tinggal di sebuah
kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah. Keadaan rumahnya sangat
daif. Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam
keadaan gelisah. Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan gelisah.

Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki sedang berlari2 sekuat hati
menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya. Sampai di
depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid saya yang terus
bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah
berlari ke arah sekolah.

Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan. Saya memanggil anak itu
sambil menahan airmata yang mula tergenang.
“Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari
jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju tadi?”
Dia terkejut dan wajahnya berubah.
“Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju lain. Itu
saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu.” Jawabnya
“Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja cikgu pukul
kamu?”

” Mak pesan, jangan meminta2 pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita
pada orang. Kalau cikgu nak pukul serahkan saja punggung kamu.”
Sambil menahan airmata yang mula berguguran saya memeluk anak itu, “Maafkan
cikgu, …….”

Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba membantunya
setakat yang mampu.

Cerita2 begini membantu melembutkan hati yang keras. Kata seorang guru,
sekiranya hati kita mula keras lembutkanlah dengan perkara2 berikut;
i. Solat sunat
ii. puasa sunat
iii. berzikir
iv. bersedekah
v. mengusap rambut anak yatim
vi. mendengar cerita2 kesusahan orang lain
vii. membantu orang susah

Kalau di Kuala Lumpur pun masih ada pelajar yang tidak mempunyai pakaian sekolah, apa lagilah kita di Sabah ini. Semoga kita lebih prihatin dengan pelajar kita

Kalungan Tahniah Untuk Ust Yusri Yusof

Pihak Panitia Pendidikan Islam, SMK Bukit Garam mengucapkan tahniah kepada Ust Yusri Yusof kerana telah dinaikkan pangkat menjadi Guru Cemerlang DG 44. Ust Yusri merupakan guru Pendidikan Islam Senior Sekolah Menengah Sains Lahad Datu, seringkali membantu pelajar-pelajar di sekolah sekitar khususnya dalam seminar teknik Menjawab Pendidikan Islam.

Pelajar SMK Bukit Garam telah 3 tahun berturut-turut menjemput Ust Yusri untuk menyampaikan ceramah dan teknik menjawab SPM kepada calon-calon SPM SMK Bukit Garam. Sememangnya Ust Yusri yang juga warden asrama SM Sains Lahad Datu berpengalaman luas di dalam membentangkan teknik menjawab hasil pendedahan beliau di peringkatan Jabatan Pendidikan Negeri dan juga di Sekolah berasrama Penuh peringkat kebangsaan.

Jawatan Guru Cemerlang DG44 tersebut difahamkan berkuatkuasa pada ogos 2009 diharapkan akan dapat merangsangkan lagi semangat Ust Yusri untuk berkhidmat kepada pelajar-pelajarnya dan pelajar sekitar. Komitmen yang baik terhadap rakan-rakan guru yang diberikan selama ini diharapkan dapat diteruskan. Begitu juga komitmen kepada pejabat pelajaran Bahagian dan negeri yang mana Ust Yusri sebelum ini kerap melibatkan diri sebagai hakim Hafazan untuk Majlis Tadarus Al-Quran disamping menjadi tenaga penting Nadwah Kepimpinan Pelajar peringkat SBP.

Selamat Maju Jaya untuk Ust Yusri Yusof. Pengiktirafan Ustaz adalah kebanggaan kami

Kenangan Hari Sukan

Gambaran sekadar kenangan untuk pelajar-pelajar dan guru - guru yang sedang dan telah meninggalkan SMK Bukit Garam. Semoga ingatan terhadap sekolah tertua di daerah Kinabatangan ini bakal mengimbau kenangan pahit manis semasa bermukim di SMK Bukit Garam

Jemput Solat Teraweh Di Surau Al-Ghazali

Biarpun agak kelewatan kita dalam memulakan solat teraweh di surau SMK Bukit Garam tetapi masa dan ruangnya masih tetap ada. Kita menyambut Ramadhan ketika musim cuti sekolah menyebabkan kita terpaksa menunda atau melewatkan solat teraweh di surau kita, surau Al-Ghazali.

Kita telah memulakan solat teraweh di Surau Al-Ghazali bermula pada 31 OGOS. Malah malam ini merupakan malam ketiga guru-guru dan murid-murid berteraweh bersama. Namun demikian, kehadiran guru-guru dan kakitangan ke surau sekolah belum memuaskan kerana ramai tertumpu di masjid berdekatan.

Pada cuti lepas, saya sempat solat teraweh di surau SMK Tangsau, Kota Kinabalu. Ini secara kebetulan saya singgah di rumah kawan yang mengajar di sekolah tersebut. Apa yang menariknya, pengetua SMK Tangsau, Datin Fatimah mewjibkan guru-guru dan kakitangan sekolah solat teraweh bersama di surau sekolah sekiranya tidak terikat dengan komitmen lain. Ianya bertujuan mengukuhkan lagi saliturrrahim antara warga sekolah. Apa lagi, diadakan giliran membawa juadah untuk moreh. Seronok juga saya rasa.

Perkara ini sebenarnya tidaklah asing bagi warga SMK Bukit Garam sekalipun tidak diwajibkan. Sebelum ini, kita telah melakukannya bahkan kita pernah menyembelih 2 ekor kambing untuk jamuan. Cuma, tahun ini, kita lambat mengatur dan bertembung dengan cuti tetapi kita masih ada masa.

Marilah kita berteraweh, bertadarus dan beribadat bersama. Disamping itu juga kita dapat bersedakah dengan menyediakan juadah moreh. kalau tidak dapat untuk guru dan penghuni asrama, cukuplah untuk kita-kita yang mengunjungi Surau Al-Ghazali.

Selamat Mengharungi Excel 2 Bersama Roh Ramadhan

Pelajar-pelajar SMK Bukit Garam mengharungi peperiksaan percubaan atau excel 2 dalam suasama Ramadhan Al-Mubarak.Pelajar Kelas sains telah memulakan peperiksaan dalam minggu ini. Manakala bagi pelajar laras IT dan sastera akan memulakannya pada minggu hadapan. Kesempatan ini adalah kesempatan yang terbaik untuk pelajar mempersiapkan diri bagi menghadapi peperiksaan SPM yang sebenar.

Semangat dan dan kesempatan Ramadhan sepatutnya dapat dimunafaatkan dengan sebaik-baiknya. Semangat Ramadhan ialah semangat umat Islam yang banyak mencipta kejayaan-kejayaan besar pada bulan Ramadhan. Perang badar Al-Kubra umpamanya telah menyaksikan umat Islam telah mencipta kejayaan mengalah musyrikin Mekah yang tidak berpuasa, lengkap dengan senjata, jumlah yang ramai dan segala kelebihan material dan jasadiah berpihak kepada ,usyikirin Mekah. Namun demikian, atas kekuatan iman dan roh Ramadhan, umat Islam menang dalam peperangan tersebut seterusnya melonjakkan Islam dan penganutnya ke puncak jaya. Begitu juga kejayaan Sultan Muhammad Al-Fateh dalam pembukaan Kota Costantinopel yang sebelumnya teguh dalam kekuasaan Kerajaan Byzantine. Banyak lagi sejarah-sejarah Islam yang menjadi bukti roh dan semangat Ramadhan mampu memacu kejayaan kepada umat Islam. Apakah kita hanya pelajar di medan ilmu terlalu susah sangat untuk mencipta kejayaan yang lebih baik dalam peperiksaan?

Kesempatan Ramadhan juga menghidangkan banyak masa untuk kita belajar dengan bersungguh-sungguh. Kalau sebelum ini barangkali kita kesuntukkan masa. Sekarang banyak aktiviti-aktiviti dikurangkan atas dasar keletihan kerana berpuasa. Kesempatan ini sepatutnya digunakan untuk memutallaah pelajaran. Kalau sebelum ini kita bangun seawal jam5 .00 pagi untuk mempersiapkan diri ke sekolah. Kadang-kadang tiada orang yang akan mengejut kita untuk bangun awal. Sekarang kita boleh bangun seawal jam 3.00 pagi untuk bersahur. Selepas sahurm solat hajat dan pulunlah masa tersebut untuk memutalaah pelajaran.

Ramadhan juga, kita dihidangkan dengan makanan manis atau kurma yang boleh membantu memperkembangkan minda kita. Perut kosong, insyaalah nafsu pun terkawal. Tumpuan kepada ibadat akan menjadi lebih, Jiwa akan bersih, hati akan menjadi suci. Mudahlah ilmu singgah di lubuk hati kita.

Jangan habiskan hari-hari Ramadhan ini dengan tidur. Munafaatkanlah kedatangan bulan rahmat, barakah dan dijauhkan kita daripada api neraka dengan bacaan Al-Quran, berzikir, bertadabur Al-Quran, kerja kebajikan, bersadakah dan sebagainya untuk menyucikan hati daripada sifat-sifat mazmummah. Panjatkanlah doa kepada Allah SWT semoga Allah memudahkan segala urusan kita dan mencapai cita-cita kita untuk menjadi hamba Allah yang bertaqwa, hamba Allah yang sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan iman dan menyubang khidmat kepada orang lain.

Selamat menduduki peperiksaaan dan selamat maju jaya murid-muridku
 
Powered By Blogger | Reka Cipta iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top