AQIDAH AHLU SUNNAH WAL JAMAAH

Aqidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah
- Kumpuan yang berpegang teguh dengan al-Quran , sunnah Rasulullah saw dan perkara-perkara yang dibawa oleh sahabat baginda serta menentang perkara-perkara  bid'ah.

Maksud As-salafussoleh
- Para ulama solihin yang hidup sebelum kurun  ketiga hijrah iaitu ;-
   a. para sahabat
   b. tabien dan pengikut tabien ( Attba uttabien)

LATIHAN

1. Berikan pengertian Aqidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah

2. Senaraikan nama lain bagi Aqidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah

3. Tuliskan sejarah munculnya Aqidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah

4. Siapakah pelopor Aqidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah

5. Jelaskan prinsip- prinsip Aqidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah

6. Terangkan kepentingan berpegang dengan Aqidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah

7. Berikan pengertian syiah

8. Bezakan pegang Syiah Imamiah, syiah Zaidiyyah dan Syiah Batiniah

9. Jelaskan pengertian Khawarij dan pegang aqidah mereka

10.  Bezakan pandangan Aqidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah dengan Syiah dan khawarij tentang

       i   . Melihat Allah
      ii.    Pelaku Dosa Besar
     iii.    Imam bertambah dan berkurang
      iv.    Qada' dan qadar
       v.  al- Quran bukan makhluk

11. Jelaskan kesan menolak Aqidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah

12. Terangkan langkah- langkah untuk memelihara aqidah

RASUL PENYAMPAI WAHYU

SOALAN LATIHAN

قُل لَّآ أَقُولُ لَكُمْ عِندِى خَزَآئِنُ ٱللَّهِ وَلَآ أَعْلَمُ ٱلْغَيْبَ وَلَآ أَقُولُ لَكُمْ إِنِّى مَلَكٌ ۖ إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَىٰٓ إِلَىَّ ۚ قُلْ هَلْ يَسْتَوِى ٱلْأَعْمَىٰ وَٱلْبَصِيرُ ۚ أَفَلَا تَتَفَكَّرُونَ

Surah al-an;am Ayat 50
Maksudnya :

Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib; aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat, aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku”. Bertanyalah (kepada mereka): “Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir?”




1.   Siapakah Rasul

2.   Bezakan antara Rasul dan malaikat

3.   Senaraikan empat tugas-tugas Rasul

4.   Apakah erti perkara ghaib

5.   Tuliskan lima contoh perkara ghaib

6.   Jelaskan bahagian-bahagian perkara ghaib

7.   Kenapakah Rasul dipilih daripada kalangan manusia

8.   Berikan pengertian khalifah

9.   Jelaskan tugas manusia di atas muka bumi ini

10. Terangkan empat pengajaran ayat dalam surah al-An;am ayat 50

RASUL DAN MALAIKAT

قُل لَّآ أَقُولُ لَكُمْ عِندِى خَزَآئِنُ ٱللَّهِ وَلَآ أَعْلَمُ ٱلْغَيْبَ وَلَآ أَقُولُ لَكُمْ إِنِّى مَلَكٌ ۖ إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَىٰٓ إِلَىَّ ۚ قُلْ هَلْ يَسْتَوِى ٱلْأَعْمَىٰ وَٱلْبَصِيرُ ۚ أَفَلَا تَتَفَكَّرُونَ

Surah al-an;am Ayat 50
Maksudnya :
Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib; aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat, aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku”. Bertanyalah (kepada mereka): “Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir?”
قُل
Katakanlah (wahai Muhammad);

Dalam ayat ini, Allah mengarahkan Nabi Muhammad untuk memberi tahu kepada manusia. Tapi bukankah tugas Nabi itu adalah untuk memberitahu kepada manusia tentang semua hal agama? Jadi kenapa disuruh memberitahu lagi dalam ayat ini? Ini menunjukkan apa yang hendak disampaikan dalam ayat ini adalah amat penting sekali. Sampaikan Nabi Muhammad dengan spesifik disuruh memberitahu kepada manusia. Oleh itu, hendaklah kita mengambil perhatian dengan apakah yang hendak disampaikan.

Gambar hiasan : Pelajar 4 Melur SMK Bukit Garam

Ada tiga perkara yang perlu disampaikan oleh Nabi.
لَّا أَقُولُ لَكُمْ
“Aku tidak mengatakan kepada kamu

Nabi disuruh untuk menidakkan pemahaman manusia tentang dirinya. Supaya jelas siapakah Nabi Muhammad itu. Ini penting kerana banyak salah faham dalam masyarakat sekarang yang merasakan Nabi Muhammad itu bukan manusia biasa. Mereka yang berkata demikian itu tidak boleh bawa dalil, tapi hanya sangkaan-sangkaan manusia sahaja. Mereka sebenarnya menolak dalil ayat Quran ini.

عِندِي خَزَائِنُ اللَّهِ
perbendaharaan Allah ada di sisiku,

Nabi disuruh untuk mengatakan bahawa baginda tidak mempunyai perbendaharaan Allah untuk diberikan kandungan perbendahaan itu sikit pun kepada manusia. Perbendaharaan itu bolehlah diandaikan sebagai satu tempat yang diletakkan rezeki di dalamnya. Nabi tidak ada perbendaharaan itu, Nabi juga tidak ada kunci kepada perbendaharaan itu. Baginda sama juga macam manusia biasa yang lain. Bukan tugas Nabi untuk memberi rezeki kepada manusia. Bahkan Nabi juga memerlukan rezeki daripada Allah. Sebab itu, kita pun ada dengar kisah bagaimana dapur Nabi berbulan-bulan tidak berasap. Baginda pun ada masanya kena mengikat perut kerana kelaparan. Kalau baginda ada pintu rezeki, tentulah Nabi tidak ada masalah kelaparan dan sebagainya. Jadi janganlah hairan kalau seorang nabi itu tidak mempunyai harta. Maka, kalau ada yang minta rezeki kepada Nabi, itu adalah perbuatan yang salah sama sekali.

Jadi kalau kita perlukan sesuatu bukan kita minta kepada Nabi kerana Nabi juga mengharap kepada Allah. Kalau semasa Nabi hidup, boleh lagi untuk para sahabat meminta kepada Nabi. Dan memang Nabi adalah seorang yang pemurah dan baginda akan beri selagimana baginda boleh memberi. Dan memang ada kisah bagaimana sahabat nampak baju yang dipakai Nabi cantik, maka dia telah meminta baju itu dari Nabi. Nabi terus sahaja beri baju itu kepada sahabat itu. Tetapi apabila Nabi telah mati, Nabi tidak langsung boleh memberi apa-apa lagi kerana baginda telah wafat. Bukanlah baginda boleh memberi rezeki kepada sesiapa pun. Maka syirik lah sesiapa yang meminta pertolongan kepada Nabi apabila baginda telah wafat.

وَلَا أَعْلَمُ الْغَيْبَ
dan aku tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib;

Nabi disuruh memberitahu kepada kita dengan jelas bahawa baginda tidak tahu hal-hal ghaib. Kalau nabi seorang manusia yang paling mulia pun tidak tahu tentang perkara ghaib,  lalu bagaimana dengan manusia biasa yang lebih rendah kedudukannya daripada Nabi? Tentulah mereka tidak tahu. Maka jangan kita bertanya tentang perkara ghaib daripada manusia. Kalau mereka kata mereka tahu perkara ghaib, maka itu adalah perkara yang amat salah. Sebagai contoh, ramai masyarakat kita kalau hilang barang, atau duit kena curi, mereka akan jumpa bomoh, jumpa ustaz (kerana sekarang bomoh pakai nama ustaz) untuk minta tolong tengokkan siapa yang curi duit itu atau di mana barangnya yang hilang itu. Tentunya mereka tidak tahu kerana mereka tidak tahu hal ghaib. Tapi kadang-kadang mereka dapat tahu di mana benda itu kerana apa? Kerana mereka tanya kepada jin! Jin boleh tengok benda itu di mana kerana mata mereka boleh melihat lebih dari manusia. Maknanya, mereka-mereka yang kononnya boleh tahu lebih dari manusia biasa itu adalah kerana mereka dapat pertolongan dari makhluk lain, iaitu jin.

Apakah yang dimaksudkan dengan ghaib?:
1, Berita masa depan; apa yang akan berlaku esok, lusa dan sebagainya. Kita memang tidak tahu langsung. Kita hanya boleh agak sahaja.
2. Cerita yang dah lepas. Jangan kata yang masa hadapan, yang telah lepas pun kita tidak tahu dengan pasti. Kalau kita tahu pun sesuatu yang berlaku dahulu, itu bukanlah tepat betul-betul berlaku.
3. Perkara ghaib alam roh, alam malaikat, syurga, neraka dan sebagainya;  Hanya Allah taala sahaja yang tahu dan boleh beritahu. Kalau perkara-perkara seperti syurga dan neraka itu, kita kena ada dalil baru kita boleh terima. Kita hanya dapat tahu hal-hal ghaib itu daripada Nabi kerana maklumat itu disampaikan kepada Nabi dan Nabi sampaikan kepada kita. Dan Nabi dah tiada sekarang. Jadi, kita tidak ada maklumat tambahan berkenaan perkara ghaib melainkan apa yang telah diberitahu kepada kita.

Antara perkara ghaib adalah jin. Jin itu ghaib dari pandangan mata kita. Kita memang tidak boleh nampak dengan mata kasar kita dalam keadaan biasa. Maka kalau ada kata boleh nampak, itu ada masalah. Jin ni boleh nampak kalau dia tunjukkan dirinya kepada manusia. Jadi kalau orang yang kata dia ada kebolehan scan jin, maknanya dia ada masalah tauhid. Dia boleh rasa kehadiran jin kerana dia telah lama berkawan dengan jin. Samada dia sedar atau tidak. Dia telah lama mengamalkan tawasul sampai jin telah berkawan dengannya. Itulah orang yang kita selalu dengar dikacau oleh hantu. Atau orang yang dipanggil masyarakat untuk mengubati orang yang dirasuk jin, kena tegur dengan jin, buang jin dan sebagainya. Mereka sangka itu adalah kelebihan yang ada pada mereka, tapi sebenarnya tidak. Mereka tidak tahu yang mereka dapat kelebihan itu kerana amal-amal salah yang mereka telah lakukan.

Kita selalu dengar bagaimana ramai sekali yang diganggu jin, hantu dan sebagainya. Sampai meracau dan sebagainya. Ini adalah satu masalah yang dihadapi oleh ramai dari kalangan masyarakat kita. Ketahuilah, kalau sudah belajar tauhid dan Sunnah, jin dah tak boleh datang dan kacau kita dah. Mereka yang boleh diganggu adalah mereka yang ada masalah tauhid.
Maka kalau ada kata boleh sakitkan hantu dan jin dengan kacang hijau lah, garam lah dan sebagainya, itu adalah mengarut kerana jin kita tak boleh nampak. Jadi macam mana kita boleh tahu yang jin-jin itu boleh sakit? Begitu juga kalau ada kononnya yang boleh tarik jin keluar dari badan pesakit – bagaimana mereka tahu yang jin itu telah keluar?

Oleh itu, kita jangan kata yang ada manusia yang tahu perkara ghaib. Kalau kita percaya ada manusia yang tahu ilmu ghaib pun sudah dikira syirik.

Kita selalu dengar bagaimana Nabi ada juga tahu perkara ghaib, bukan? Tapi hendaklah kita ingat bahawa Nabi hanya tahu perkara ghaib dari apa yang telah diberitahu kepada baginda oleh Allah. Bukannya Nabi tahu sendiri. Selalunya pemberitahuan itu melalui Jibrail. Sebab itu kadang-kadang kita jumpa hadis yang menceritakan bagaimana Nabi ada memberi tahu tentang perkara ghaib, apa yang akan terjadi di masa hadapan dan sebagainya. Itu bukan bermakna yang Nabi tahu perkara itu sendiri tapi Nabi telah diberitahu oleh Allah tentang sesuatu perkara itu dan Nabi hanya menyampaikan saja. Ini kena faham kerana ramai manusia yang keliru tentang perkara ini. Mereka sangka dengan Nabi memberitahu tentang apa yang terjadi tentang masa hadapan dan sebagainya, mereka sangka Nabi tahu perkara ghaib. Dan kerana itu mereka kata Nabi itu bukan manusia biasa. Sampaikan ada ajaran tarekat yang mengatakan bahawa Nabi Muhammad itu adalah jelmaan Allah.

وَلَا أَقُولُ لَكُمْ
aku juga tidak mengatakan kepada kamu

Ini adalah perkara kedua yang Nabi disuruh tidakkan. Kerana ada salah faham di kalangan manusia tentang perkara ini.
إِنِّي مَلَكٌ
bahawasanya aku ini malaikat,

Nabi Muhammad disuruh memberitahu yang baginda tidak mempunyai sifat-sifat malaikat. Nabi adalah bersifat manusia. Tidak sama dengan malaikat kerana mereka mempunyai sifat-sifat yang tersendiri. Mereka boleh terbang, mereka boleh naik ke langit, mereka boleh nampak perkara-perkara yang lebih dari kita dan berbagai-bagai lagi beza dengan kita sebagai manusia. Mereka mempunyai sifat-sifat istimewa diberikan oleh Allah. Dalam ayat ini, Nabi Muhammad disuruh memberitahu kepada manusia bahawa baginda adalah seorang manusia dan hanya mempunyai sifat-sifat manusia sahaja.

Sifat Nabi Muhammad adalah sama dengan sifat manusia yang lain. Nabi ada nafsu, malaikat tidak ada nafsu. Kalau manusia ada sifat pelupa, Nabi juga ada sifat lupa, kalau manusia ada sifat lapar, Nabi juga lapar dan macam-macam lagi sifat manusia yang ada pada Nabi.

Musyrikin Mekah mengejek Nabi Muhammad kerana nabi sama sahaja macam manusia lain. Pada mereka, apa bezanya dan apa hebatnya kalau baginda sama sahaja dengan manusia yang lain? Tapi begitulah yang Allah telah tetapkan. Ada sebab kenapa Allah hendak jadikan rasul itu dari kalangan manusia. Kerana kalau Nabi dan Rasul itu bukan macam manusia biasa, maka tentulah ada alasan bagi manusia untuk tidak ikut mereka. Kerana mereka akan kata, tidak sama dugaan mereka dan Nabi dan para Rasul. Sebagai contoh, mereka akan kata mereka ada dugaan lapar, tapi Nabi tidak ada masalah itu. Mereka akan kata bolehlah kalau Nabi tidak berzina kerana Nabi tidak ada nafsu. Dan banyak lagi sebab-sebab yang boleh dijadikan alasan oleh mereka. Tapi apabila Nabi sama sahaja dengan manusia lain, mereka boleh dijadikan contoh tauladan yang boleh diikuti.
Jadi, dalam ayat ini, Allah suruh Nabi kata kepada umat bahawa baginda memang sama macam manusia lain.
إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَىٰ إِلَيَّ
aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku”.

Ini adalah perkara ketiga yang perlu disampaikan oleh Nabi.
Beza Nabi dan kita adalah Nabi menerima wahyu terus dari Allah. Dan Nabi disuruh memberitahu dalam ayat ini bahawa baginda hanya mengikut apa sahaja yang diwahyukan kepada baginda. Tidak boleh untuk mereka-reka benda yang baru dalam agama, kerana agama Islam itu telah lengkap. Oleh itu jangan kita mengikut perkara-perkara bidaah yang diamalkan oleh manusia-manusia yang tidak berilmu.

Ini adalah dalil kepada kita untuk ikut Quran dan hadis sahaja. Kerana Nabi Muhammad pun disuruh cakap begitu. Kalau pendapat guru kita pun kita tak pakai kalau berlawanan dengan ayat Quran dan hadis Nabi. Kalau ada yang pakai pendapat guru dan tolak ayat Quran, itu adalah kufur. Tapi berapa banyak dari kalangan kita yang senang sahaja bertaqlid kepada pendapat guru mereka. Mereka tidak belajar pun tafsir Quran dan Hadis Nabi, dan kerana itu mereka tidak tahu bahawa pendapat guru mereka itu bersalahan dengan Quran dan Hadis.

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الْأَعْمَىٰ وَالْبَصِيرُ
Bertanyalah (kepada mereka): “Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik?

Sebelum ini asyik disebut ‘adakah kamu lihat?’. Sekarang baru disebut bahawa mereka itu sebenarnya ‘buta’, tidak dapat melihat. Mata mereka nampak, tapi mereka tidak boleh melihat kebenaran walaupun di hadapan mata mereka. Adakah sama orang yang tahu tentang ilmu Quran dan hadis kalau dibandingkan dengan mereka yang tak tahu? Tentulah tidak sama.

Tahu Quran itu bermaksud tahu tafsir Quran. Bukan setakat tahu membaca sahaja. Kena tahu apakah yang hendak disampaikan oleh Allah dalam Quran itu. Jangan kita jadi macam orang Yahudi. Mereka itu terima Kitab Taurat. Dan mereka mengaku yang Taurat itu dari Allah. Tapi dalam kehidupan beragama, mereka tidak pakai kitab Taurat. Sebaliknya mereka memakai kitab karangan manusia. Sama sahaja dengan masyarakat kita. Masyarakat kita terima yang Quran itu dari Allah. Tapi mereka tak pakai pun kitab Quran kerana mereka tak belajar pun tafsir Quran. Yang mereka pakai adalah kitab karangan manusia. Kitab karangan manusia berkarung-karung mereka baca, tapi tafsir Quran belum belajar lagi pun.

 أَفَلَا تَتَفَكَّرُونَ
Tidakkah kamu mahu berfikir?”


Tidakkah manusia mahu memikirkan betapa banyak kesalahan yang mereka telah lakukan tanpa mereka sedari?
 
Powered By Blogger | Reka Cipta iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top