Program rutin tahunan Panitia Pendidikan Islam SMK Bukit Garam berjalan lancar dan mendapat sabutan lebih baik dari kalangan ibubapa pada tahun ini. Ibubapa tiba awal pagi ke sekolah untuk bersama-sama dengan guru-guru dan anak-anak mereka yang merupakan calon PMR.
Program solat hajat yang dijalankan di Surau Al-Ghazali dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada pihak sekolah yang diwakilkan kepada cikgu Kamsah Salleh. Manakala En Asmarah Khoo berucap bagi pihak ibubapa mengharapkan anak-anak mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam PMR nanti. En Amdan Hassim sebagai wakil Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) juga bapa kepada calon PMR bertindak merasmikan solat hajat ini dengan melahirkan perasaan terima kasih kepada pihak sekolah kerana mengadakan program ini yang beliau amat meyakini bahawa inilah tawakal yang sebenar setelah guru dan murid-murid bersungguh-sungguh mengajar dan belajar.
Pada kesempatan ini juga, ust Zaidi selaku pengendali majlis dan orang yang dipertanggungjawabkan dalam mengurus Surau Al-Ghazali dan mengendalikan aktiviti-aktiviti keislaman di sekolah mengucapkan terima kasih kepada ibubapa yang telah menyumbang kepada pembangunan Islam bagi pelajar-pelajar SMK Bukit Garam. Sehubungan dengan itu, beliau melancarkan derma kepada ibubapa yang berminat untuk menyumbang wang, keperluan surau, buku-buku agama, sumbangan tahlil dan sebagainya bagi menrancakkan aktiviti keagamaan di SMK Bukit Garam.
Seterusnya, taklimat dan solat hajat dipimpin oleh Guru Cemerlang DG44 Ust Adli Hasbullah.
Majlis ditutup dengan salam doa restu daripada anak kepada ibubapa masing-masing dan ibubapa yang hadir. Calon diarahkan memeluk dan membisikkan janji dan azam mereka untuk berjuang bersungguh-sungguh sehingga membawa kejayaan cemerlang kepada mereka. Slot ini bertukar menjadi tangisan dan esakan ibubapa dan anak-anak mereka dalam keadaan berpeluk terutama bagi calon perempuan.
Jamuan ibubapa dan guru disumbangankan oleh seorang ibubapa calon. Semoga Allah memberkati segala usaha dan pengorbanan kalian